AN INTRODUCTION BY THE PRESIDENT


Ustaz Haji Rahimullah Bin Mohd Hussain


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh!

Sebagai Pengerusi MUR yang baru, Ustaz Haji Rahimullah berikrar untuk meneruskan visi murni Ustaz Mohd Jaber untuk memantapkan lagi tahap pendidikan akademik dan pengajian Islam anak-anak yang sedang belajar di  madrasah dan sekolah di bawah naungan MUR - dibangunkan dengan dokongan pemimpin masyarakat Rohingya di kawasan-kawasan penempatan di Malaysia, Kem Pelarian Bangladesh dan Kem Pelarian Arakan Myanmar.  Disamping itu, usaha dan ikhtiar perlu dilipatgandakan untuk mewujudkan beberapa buah lagi madrasah yang masih belum wujud secara formal di Malaysia, Bangladesh dan Arakan Myanmar yang mana ramai terdapat masyarakat pelarian Rohingya bermastautin.

Menurut Ustaz Haji Rahimullah lagi, pendidikan adalah menjadi agenda utama MUR memandangkan kanak-kanak pelarian Rohingya (yang jumlahnya dianggarkan 1,000 orang) tidak berpeluang mendaftar sebagai pelajar di sekolah bantuan kerajaan disebabkan status mereka sebagai masyarakat pelarian (yang tidak mempunyai sebarang identifikasi diri) terdapat kekangan dari segi undang-undang negara ini.  Untuk mendapat pendidikan di sekolah swasta adalah jauh dari kemampuan kami.
Ustaz Haji Rahimullah menegaskan bahawa pendidikan adalah kunci kejayaan hidup. Hanya melalui pendidikan akan berupaya mentransformasikan anak-anak ini  menjadi insan yang berilmu, beriman dan bertaqwa kepada Allah Subhanahu Wataala.


Selain daripada itu, MUR juga akan melipatgandakan program dan aktiviti dakwah di kalangan masyarakat Rohingya dewasa yang dianggarkan sekitar 125,000 di Malaysia. Majoriti masyarakat Rohingya yang diusir dari Rakhine State (dahulunya Arakan), yang terpaksa menjadi masyarakat pelarian di Malaysia dan di negara-negara lain, amat rendah dalam pengetahuan agama Islam (termasuklah dalam bab Fardu Ain). Keadaan ini berlaku disebabkan ajaran dan aktiviti berbentuk keagamaan yang digerakkan oleh golongan ulamak sentiasa disekat dari berkembang dan tertakluk kepada pelbagai jenis diskriminasi oleh rejim junta Myanmar.


Oleh itu, Ustaz Haji Rahimullah amat berharap semoga Kerajaan Malaysia (melalui jabatan dan agensi agama Islam serta pelbagai NGO di negara ini) dapat membantu dan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan gerakan pendidikan dan dakwah serta pengukuhan aqidah Islamiah di kalangan masyarakat Rohingya dapat diperhebatkan lagi – selari dengan semangat yang diberikan oleh kaum ansar terhadap golongan muhajirin pada zaman penghijrahan pimpinan Rasulullah a.s dari kota Mekah ke Madinah dahulu.



Wassalam.

Ustaz Haji Rahimullah Bin Mohd Hussain
Pengerusi
Majlis Ulama Rohingya (MUR)




Surah Al-Kahf 18:46 


Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More